Isnin, Oktober 17, 2011

DUGAAN


Kehidupan ini ada kalanya sering menduga kita sebagai insan yang lemah.Namun seringkali juga setiap dugaan membawa seribu erti pada kita yang bergelar manusia kerana ia merupakan perencah yang menambah perisa dalam kehidupan kita ini.Sekian lama aku tanggung dugaan ini biarpun ianya tidak sehebat seperti apa yang dialami oleh insan lain tetapi semakin lama aku merasakan ia semakin berat menghimpit segenap ruang emosi.Aku perlu lepaskan bebanan ini kerana ia amat mengganggu kehidupanku setiap hari, setiap masa dan setiap ketika.

Setelah 10 tahun aku bekerja di syarikat ini yang bermula dalam serba kepayahan dan keperitan, kini segalanya telah berubah setelah syarikat bertapak kukuh dan memonopoli pasaran di negara ini.Mereka semakin sombong, angkuh dan bongkak.Semenjak diambil alih oleh pangarah baru kini aku perlahan-lahan disingkirkan dan semakin lama dilayan bagaikan sampah.Ternyata aku tidak serasi dengannya dan telah tiga kali aku serahkan surat perletakan jawatan namun semuanya tidak diterima.Kenapa susah sangat nak lepaskan aku? atau sengaja mahu mendera emosi aku? atau mungkin dia takut dimarahi pengarah lama?.Biarpun aku belum lagi memulakan perancangan baru tapi aku lebih rela mengundur diri dari di layan seperti ini.Cukuplah lakonanmu itu kerana aku sudah muak dengan sikap rasismu itu.

Itulah hakikat dalam kehidupan ini kerana langit tidak selalu cerah.Apapun yang berlaku aku tetap bersyukur dengan segala nikmat dan kesenangan yang dikurniakan pada aku selama ini.Di rumah aku tetap suami dan bapa kepada anak-anakku yang mereka kenali selama ini dan aku tidak sanggup melontarkan segala masalah ini pada mereka, biarlah aku tanggung segalanya seorang diri dan mencari jalan keluar..insyaallah moga dipermudahkan.Kepada 2 sahabat baik sejak dari zaman persekolahan lagi Azri & Ramli terima kasih kerana sudi berkongsi dan sering berhubung bertanya khabar.Inilah antara sahabat yang terus berfikiran positif mencari jalan dan memberi cadangan.Kini mereka semakin melangkah jauh bersama misi masing-masing.Ramli semakin maju bersama syarikat miliknya dan kini Azri semakin mengorak langkah menjejaki Ramli.Semoga kedua-duanya berjaya.

Biarpun aku masih kabur namun aku perlu teruskan usaha ke arah itu.Tiada gunanya aku terus bersandar pada dahan yang semakin rapuh dan aku percaya rezeki kita ada di mana-mana selagi kita berusaha untuk mendapatkannya biarpun segalanya perlu ditempuh dalam kesamaran.Aku berharap agar aku mampu bertahan untuk 2 bulan lagi sehingga hujung tahun sebelum surat terakhir aku serahkan.

Tidak lupa untuk aku mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana pembedahan untuk kali ke 3 anakku telah berjalan dengan sempurna dan kerana itu semalam aku mengadakan kenduri doa selamat untuknya.Telah 3 kali dia menjalani pembedahan ini, kali pertama pada penghujung 2009 yang memakan masa selama 9 jam, kali kedua 3 bulan selepas itu dan semoga kali ini adalah yang terakhir untuknya kerana aku tidak sanggup lagi melihat badannya dibelah, disiat dan dijahit.

Kini aku banyak menghiburkan hati bersama rakan-rakan lain di dalam satu group di alam cyber. Biarpun ramai diantara mereka tidak aku kenali tetapi sekurang-kurangnya kehadiran dan keletah mereka menghiburkan aku.Mungkin di sana mereka melihat aku ketawa dan bergurau senda tapi hakikatnya aku dilanda duka namun biarlah mereka hanya melihat aku ketawa kerana aku juga turut ingin melihat mereka ketawa.Terima kasih teman...

Semoga Allah permudahkan segalanya untuk aku biarpun aku terpaksa kembali merangkak tapi aku tetap pasrah kerana aku tahu Allah menyayangi aku..aminn. 

Selasa, Julai 26, 2011

DEMAM


Telah tiga hari aku diserang demam mungkin kerana cuaca sekarang yang terlalu panas. Sepatutnya aku bercadang ke Pusat Darah Negara pada sabtu lepas untuk menderma darah tapi malangnya bila bangun tidur badanku dah mula panas dan nampaknya terpaksalah di tunda selepas hari raya nanti.Seperti kebiasaan sebelum tibanya bulan puasa aku akan ke sana untuk menderma darah tapi seperti tahun lepas nasib aku kurang baik kerana di serang demam pula.

Tahun lepas juga aku menderma selepas hari raya kerana tak sempat untuk menderma sebelum masuknya bulan puasa.Jika menderma sebelum bulan puasa ianya lebih baik kerana pada bulan puasa kita akan menyahtoksinkan badan kita.Makanan yang diambil juga agak terkawal berbanding jika kita tidak berpuasa.Apabila kita menderma darah sebelum bulan puasa bermakna kita juga akan 'refreshkan' semula darah di dalam badan kita.

Tak apalah derma selepas raya pun elok juga sebab boleh keluarkan darah selepas bermacam hidangan yang disumbat semasa hari raya tu nanti.Bagi ringankan badan ni sikit kan..

Nak update blog utama tu pun tak ada mood sebab badan masih lemah beserta batuk.Idea nak menulis pun kurang bila badan rasa tak selesa ni.Biarlah..esok lusa pun boleh tunggu badan ni sihat sikit.


Isnin, Jun 20, 2011

KITA MASIH BELUM CUKUP SEMPURNA


Agak lama blog ini aku biarkan sepi.Blog yang penuh dengan kisah peribadi dan sarat dengan catatan tentang diri ini.

Mengimbau kenangan lama terutama di zaman persekolahan membuatkan aku rindu pada mereka.Rindu pada teman yang sama-sama bergurau senda dan penuh hilai tawa.Apabila tamatnya zaman persekolahan masing-masing membawa haluan sendiri dan terus menyepi.

Masa terus berlalu sehinggalah rakan-rakanku berjaya aku jejaki satu persatu lalu kami aturkan pertemuan bagi mengeratkan lagi tali silaturahim sesama kami dengan harapan hubungan persahabatan ini tidak akan putus dan terus kekal.Rancangan mengadakan reunion akhirnya terlaksana meskipun sambutan yang diterima amat mengecewakan.Sangkaku ia menerima maklum balas yang baik ternyata aku kecewa dengan sikap mereka.Lebih mengecewakan apabila ramai diantara mereka yang mengharapkan rancangan ini gagal dan ternyata mereka gembira apabila tidak ramai yang hadir pada hari tersebut.Namun bagi kami yang hadir tiada lain yang kami harapkan hanya inginkan hubungan persahabatan ini terus kekal.

Tidak dapat aku gambarkan perasaan aku dan beberapa lagi rakan lain yang terlibat dalam perancangan ini sehingga kami memutuskan bahawa ini adalah yang pertama dan ini juga yang terakhir kiranya begini sikap mereka.Kami dibiarkan ternanti-nanti dengan jawapan dari mereka sehinggalah berakhirnya pertemuan tersebut.Ada yang begitu bersungguh pada awalnya tapi akhirnya diam menyepi tanpa sebarang berita.Bukan hanya sekadar diam menyepi malah ucapan maaf langsung tidak kami dengari sehingga ke hari ini.Segala usaha dan penat lelah kami bagaikan tidak dihargai dan kami dibiarkan tertanya-tanya kenapa dan mengapa.

Setelah sekian lama kami tidak bertemu ternyata masa banyak merubah segalanya.Kemesraan yang diharapkan perlahan-lahan mula lenyap dan semakin menampakkan bibit perpecahan.Apa yang aku lihat puncanya adalah dari sikap kita sendiri dan penyebab yang ke dua adalah kerana perbezaan fahaman politik.Apabila fikiran mula dikuasai oleh politik ia turut menampakkan kesan dan perubahan pada sikap.

Apakah aku tersilap dalam percaturan ini kerana bersungguh untuk menjejak mereka.Sesekali timbul penyesalan apabila melihat apa yang terjadi tidak seperti apa yang aku harapkan.Seringkali kita dengar ungkapan bersangka baik sesama kita tapi ternyata ia hanya sebuah ungkapan yang terbit dari mulut tapi hakikatnya apa yang ada di dalam hati tidak sama seperti apa yang diucapkan.Biarpun aku cuba bertahan dan mengelak agar tidak bersangka buruk tetapi naluriku sering tercabar dengan apa yang mereka lakukan.Aku hanya mampu berdiam diri sambil melihat mereka terus bersandiwara dan sandiwara mereka ternyata berjaya mengaburi mata orang lain.

Biar apapun sebagai manusia amat sukar untuk kita temui rakan yang benar-benar bergelar sahabat.Terbukti sahabat yang bergelar sahabat sejak dibangku sekolah kini terus menjadi sahabat meskipun setelah lebih 20 tahun terpisah.Hanya dialah satu-satunya sahabat aku yang hadir melawat sewaktu aku terlantar sakit di hospital dan hanya seorang sahabat yang datang membantu sewaktu anakku sakit dan terlantar di hospital.Mereka inilah yang kerap bertanya khabar tanpa mengharapkan publisiti atau riuh mencanang kehebatan diri mereka di sana sini.Terima kasih sahabat yang bukan hanya banyak membantu aku malah sahabat ini juga secara diam banyak membantu dalam melaksanakan reunion kami dulu.

Biar apapun aku mengharapkan rakan lain terus kekal sebagai rakan dan bukan sebagai musuh.Sesungguhnya di antara kita tiada yang sempurna tetapi jangan kita jadikan ketidaksempurnaan itu sebagai alasan untuk kita menjadi musuh.Jika dulu kita masih bergelar rakan walaupun masih banyak yang tidak sempurna kenapa hari ini kita tidak lagi menjadi rakan walaupun kita tahu bahawa kita sebenarnya masih belum cukup sempurna.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...