Isnin, Jun 20, 2011

KITA MASIH BELUM CUKUP SEMPURNA


Agak lama blog ini aku biarkan sepi.Blog yang penuh dengan kisah peribadi dan sarat dengan catatan tentang diri ini.

Mengimbau kenangan lama terutama di zaman persekolahan membuatkan aku rindu pada mereka.Rindu pada teman yang sama-sama bergurau senda dan penuh hilai tawa.Apabila tamatnya zaman persekolahan masing-masing membawa haluan sendiri dan terus menyepi.

Masa terus berlalu sehinggalah rakan-rakanku berjaya aku jejaki satu persatu lalu kami aturkan pertemuan bagi mengeratkan lagi tali silaturahim sesama kami dengan harapan hubungan persahabatan ini tidak akan putus dan terus kekal.Rancangan mengadakan reunion akhirnya terlaksana meskipun sambutan yang diterima amat mengecewakan.Sangkaku ia menerima maklum balas yang baik ternyata aku kecewa dengan sikap mereka.Lebih mengecewakan apabila ramai diantara mereka yang mengharapkan rancangan ini gagal dan ternyata mereka gembira apabila tidak ramai yang hadir pada hari tersebut.Namun bagi kami yang hadir tiada lain yang kami harapkan hanya inginkan hubungan persahabatan ini terus kekal.

Tidak dapat aku gambarkan perasaan aku dan beberapa lagi rakan lain yang terlibat dalam perancangan ini sehingga kami memutuskan bahawa ini adalah yang pertama dan ini juga yang terakhir kiranya begini sikap mereka.Kami dibiarkan ternanti-nanti dengan jawapan dari mereka sehinggalah berakhirnya pertemuan tersebut.Ada yang begitu bersungguh pada awalnya tapi akhirnya diam menyepi tanpa sebarang berita.Bukan hanya sekadar diam menyepi malah ucapan maaf langsung tidak kami dengari sehingga ke hari ini.Segala usaha dan penat lelah kami bagaikan tidak dihargai dan kami dibiarkan tertanya-tanya kenapa dan mengapa.

Setelah sekian lama kami tidak bertemu ternyata masa banyak merubah segalanya.Kemesraan yang diharapkan perlahan-lahan mula lenyap dan semakin menampakkan bibit perpecahan.Apa yang aku lihat puncanya adalah dari sikap kita sendiri dan penyebab yang ke dua adalah kerana perbezaan fahaman politik.Apabila fikiran mula dikuasai oleh politik ia turut menampakkan kesan dan perubahan pada sikap.

Apakah aku tersilap dalam percaturan ini kerana bersungguh untuk menjejak mereka.Sesekali timbul penyesalan apabila melihat apa yang terjadi tidak seperti apa yang aku harapkan.Seringkali kita dengar ungkapan bersangka baik sesama kita tapi ternyata ia hanya sebuah ungkapan yang terbit dari mulut tapi hakikatnya apa yang ada di dalam hati tidak sama seperti apa yang diucapkan.Biarpun aku cuba bertahan dan mengelak agar tidak bersangka buruk tetapi naluriku sering tercabar dengan apa yang mereka lakukan.Aku hanya mampu berdiam diri sambil melihat mereka terus bersandiwara dan sandiwara mereka ternyata berjaya mengaburi mata orang lain.

Biar apapun sebagai manusia amat sukar untuk kita temui rakan yang benar-benar bergelar sahabat.Terbukti sahabat yang bergelar sahabat sejak dibangku sekolah kini terus menjadi sahabat meskipun setelah lebih 20 tahun terpisah.Hanya dialah satu-satunya sahabat aku yang hadir melawat sewaktu aku terlantar sakit di hospital dan hanya seorang sahabat yang datang membantu sewaktu anakku sakit dan terlantar di hospital.Mereka inilah yang kerap bertanya khabar tanpa mengharapkan publisiti atau riuh mencanang kehebatan diri mereka di sana sini.Terima kasih sahabat yang bukan hanya banyak membantu aku malah sahabat ini juga secara diam banyak membantu dalam melaksanakan reunion kami dulu.

Biar apapun aku mengharapkan rakan lain terus kekal sebagai rakan dan bukan sebagai musuh.Sesungguhnya di antara kita tiada yang sempurna tetapi jangan kita jadikan ketidaksempurnaan itu sebagai alasan untuk kita menjadi musuh.Jika dulu kita masih bergelar rakan walaupun masih banyak yang tidak sempurna kenapa hari ini kita tidak lagi menjadi rakan walaupun kita tahu bahawa kita sebenarnya masih belum cukup sempurna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...