Isnin, Oktober 17, 2011

DUGAAN


Kehidupan ini ada kalanya sering menduga kita sebagai insan yang lemah.Namun seringkali juga setiap dugaan membawa seribu erti pada kita yang bergelar manusia kerana ia merupakan perencah yang menambah perisa dalam kehidupan kita ini.Sekian lama aku tanggung dugaan ini biarpun ianya tidak sehebat seperti apa yang dialami oleh insan lain tetapi semakin lama aku merasakan ia semakin berat menghimpit segenap ruang emosi.Aku perlu lepaskan bebanan ini kerana ia amat mengganggu kehidupanku setiap hari, setiap masa dan setiap ketika.

Setelah 10 tahun aku bekerja di syarikat ini yang bermula dalam serba kepayahan dan keperitan, kini segalanya telah berubah setelah syarikat bertapak kukuh dan memonopoli pasaran di negara ini.Mereka semakin sombong, angkuh dan bongkak.Semenjak diambil alih oleh pangarah baru kini aku perlahan-lahan disingkirkan dan semakin lama dilayan bagaikan sampah.Ternyata aku tidak serasi dengannya dan telah tiga kali aku serahkan surat perletakan jawatan namun semuanya tidak diterima.Kenapa susah sangat nak lepaskan aku? atau sengaja mahu mendera emosi aku? atau mungkin dia takut dimarahi pengarah lama?.Biarpun aku belum lagi memulakan perancangan baru tapi aku lebih rela mengundur diri dari di layan seperti ini.Cukuplah lakonanmu itu kerana aku sudah muak dengan sikap rasismu itu.

Itulah hakikat dalam kehidupan ini kerana langit tidak selalu cerah.Apapun yang berlaku aku tetap bersyukur dengan segala nikmat dan kesenangan yang dikurniakan pada aku selama ini.Di rumah aku tetap suami dan bapa kepada anak-anakku yang mereka kenali selama ini dan aku tidak sanggup melontarkan segala masalah ini pada mereka, biarlah aku tanggung segalanya seorang diri dan mencari jalan keluar..insyaallah moga dipermudahkan.Kepada 2 sahabat baik sejak dari zaman persekolahan lagi Azri & Ramli terima kasih kerana sudi berkongsi dan sering berhubung bertanya khabar.Inilah antara sahabat yang terus berfikiran positif mencari jalan dan memberi cadangan.Kini mereka semakin melangkah jauh bersama misi masing-masing.Ramli semakin maju bersama syarikat miliknya dan kini Azri semakin mengorak langkah menjejaki Ramli.Semoga kedua-duanya berjaya.

Biarpun aku masih kabur namun aku perlu teruskan usaha ke arah itu.Tiada gunanya aku terus bersandar pada dahan yang semakin rapuh dan aku percaya rezeki kita ada di mana-mana selagi kita berusaha untuk mendapatkannya biarpun segalanya perlu ditempuh dalam kesamaran.Aku berharap agar aku mampu bertahan untuk 2 bulan lagi sehingga hujung tahun sebelum surat terakhir aku serahkan.

Tidak lupa untuk aku mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t kerana pembedahan untuk kali ke 3 anakku telah berjalan dengan sempurna dan kerana itu semalam aku mengadakan kenduri doa selamat untuknya.Telah 3 kali dia menjalani pembedahan ini, kali pertama pada penghujung 2009 yang memakan masa selama 9 jam, kali kedua 3 bulan selepas itu dan semoga kali ini adalah yang terakhir untuknya kerana aku tidak sanggup lagi melihat badannya dibelah, disiat dan dijahit.

Kini aku banyak menghiburkan hati bersama rakan-rakan lain di dalam satu group di alam cyber. Biarpun ramai diantara mereka tidak aku kenali tetapi sekurang-kurangnya kehadiran dan keletah mereka menghiburkan aku.Mungkin di sana mereka melihat aku ketawa dan bergurau senda tapi hakikatnya aku dilanda duka namun biarlah mereka hanya melihat aku ketawa kerana aku juga turut ingin melihat mereka ketawa.Terima kasih teman...

Semoga Allah permudahkan segalanya untuk aku biarpun aku terpaksa kembali merangkak tapi aku tetap pasrah kerana aku tahu Allah menyayangi aku..aminn. 

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...