Selasa, Disember 28, 2010

LEBIH TENANG DI SINI

Suatu ketika aku tercari-cari di mana tempat untuk membolehkan aku melakar sesuatu bagi meluahkan dan membicarakan isi hati.

Lantas aku temui tapak untuk aku jadikan hamparan mengukir bicara... maka terbitlah bicara aku di sana.Pada awalnya aku gembira kerana di situlah aku menggamit dan mengimbau semula segala memori.. segala kenangan dan segala nostalgia lama. Nostalgia yang berlalu bagaikan awan berarak ditiup sang bayu...akhirnya lenyap sebelum munculnya awan baru.

Waktu berlalu ternyata aku tidak gembira di sana kerana di sana bukanlah tempat dan tapak yang aku ingini.Aku ingin mencari tempat untuk sesekali menyendiri dan berbicara dengan hati kerana aku akui aku gemar menyendiri dan menilai diri. Akhirnya aku memilih teratak ini.Yang nyata tiada traffic disini.....

Berbagai gelagat yang aku lihat di sana..ada yang ketawa ..ada yang berduka..ada yang muram dan ada yang sengketa.Aku cuba mengikut rentak dan mengatur jejak namun semakin lama aku semakin jemu dan keliru.Tiada beza dengan apa yang aku temui dalam kehidupan ini.Di sana banyak yang aku temui wajah-wajah yang hipokrit...yang berlegar bersama topeng berkilat dan berputar bersama bicara yang menggegar.

Mereka berlindung disebalik ukiran ayat dan fatwa...di tampal di segenap penjuru blog tidak ubah seperti kedai mamak yang menjadikannya sebagai pelaris dan perhiasan untuk mengaburi mata pengunjung.Ramai yang terpesona lantas singgah menambah perisa.Mereka bicara tentang agama..tentang dosa dan pahala.. copy paste segala apa yang nabi bersabda.Bila diamati ternyata itu hanya perhiasan di mata lantaran sikap mereka yang tidak selari bagai apa yang dikata.

Mereka mengejar dan memburu pendapatan yang hanya secubit.Terus mencuba meskipun sesekali dicubit dan ada kalanya bagaikan tersepit.Masa yang ada dihabiskan agar entry terbit meskipun usia semakin merangkak senja.Mereka bentangkan segala hadis katanya demi agama..tapi mereka lupa Allah berupaya menyelami jauh ke dalam lubuk hati mereka.Mereka bangga kerana berjaya mengaburi mata manusia tapi mereka lupa pandangan Allah tidak pernah kabur ataupun buta.

Apa sebenarnya yang mereka kejar di sana ....walau mereka berdusta aku dapat selami kerana disebalik bait kata mereka belum mampu untuk sembunyi.Kata-kata dusta juga lahir dari hati yang pandai berdusta kerana apa yang kita tuturkan terbit dari hati...berhati-hatilah sebelum hati kita terus menjadi buta.

Isnin, Disember 13, 2010

BAGAI TIDAK BERDAYA LAGI

Selepas kembali dari cuti Hari Raya bebanan tugas mencurah-curah seperti batu disimbah ke kepala. Projek yang datang tidak putus-putus membuatkan aku lesu tidak bermaya. Sepanjang aku bekerja di sini tahun ini adalah yang paling banyak order yang kami terima.Sasaran 'profit' 10 juta aku rasa telah lebih dari sasaran. 'Overhead' juga bukan lagi alasan dengan pengurangan staff secara total dan paling minimum.

Senario biasa apabila tiba hujung tahun masing-masing 'rushing' untuk menyiapkan projek kerana biasanya tahun depan 'budget' baru akan dikeluarkan. Ini bererti masing-masing akan 'rushing' bagi menyiapkan segera setiap projek untuk budget tahun ini.Ketika inilah 'supplier' atau pembekal seperti kami akan dikerah habis-habisan 'by hook or by crook..get it done'.

Tahun-tahun sebelumnya tidak pernah lagi aku alami situasi yang begitu terhad seperti ini.Ruang yang diberi begitu sempit hingga aku tidak mampu berfikir lebih lama.Lebih memeritkan aku hanya diberi 2 orang pembantu seorang pelukis plan atau 'draftman' dan seorang lagi 'QC Supervisor'. Hanya sedikit ruang untuk aku menarik nafas lega kerana mereka berdua telah agak lama bekerja disini maka masing-masing turut cekap menyiapkan tugas yang diberi tanpa perlu memberi 'detail instruction'.

Walau secekap mana dan setangkas mana sekalipun ia belum memadai untuk kami menyiapkan segalanya mengikut tempoh masa yang diberi.Bermula dengan proses 'proposal' untuk client masa yang diberi " I need it after lunch".Maka berkejarlah aku untuk memeriksa,meneliti dan menentukan 'proposal' tersebut. Proposal drawing bertujuan untuk menentukan lokasi product yang akan dipasang dan juga model yang akan digunapakai.Belum pun proposal siap pihak 'Production' pula bertanya "I'm waiting your assembly drawing..delivery by next week".Assembly drawing pula gambarajah sesebuah produk yang telah mendapat 'approval' dari 'client' serta lengkap dengan senarai barangan yang perlu diorder (part drawing) termasuk kuantitinya sekali (bill of material)

Proposal yang pertama belum siap datang lagi 3 projek baru juga untuk dibuat proposal dan masa yang diberi "by tomorrow !!!" itu belum lagi termasuk projek lain yang perlu dibuat 'amendmend and resubmit'..barang yang perlu di modified dan perlu 'create' drawing baru serta barang yang belum pernah di buat turut menantikan drawing dari aku untuk diberi pada 'fabricator' dan drawing juga diperlukan untuk keluarkan 'purchase order'.Walau apapun seperti biasa aku cuba bersikap 'cool' kerana aku tidak mahu pembantu aku merasa kelam kabut dan biasanya aku akan bertanya "dah siap ke?..kalau dah siap buat yang ni pulak ok" malangnya ada pulak yang tak sabar terus potong que..terus arahkan pembantu aku buatkan kerja untuk dia katanya urgent.Aku dah mula naik angin sebenarnya kerana aku tidak gemari cara seperti ini.Pembantu aku pula dah mula resah dan pening kepala arahan siapa dia nak ikut?..mana satu yang perlu disiapkan dulu?...tapi aku hanya diam dan sabar sambil memberi ruang kepadanya.

Dalam mengejar masa untuk siapkan proposal pada client , Assembly drawing untuk production , prototype untuk R&D..satu lagi beban datang bertimpa.."Please update your tecnical file..the standard that you use now already change to new standard"..satu lagi masalah.Aku meneliti technical file yang ada ..kesemuanya ada 6 file yang perlu aku update dan semak semula.Ini pula part untuk ISO.Arahan yang diterima "All file must be complete and submit to us by this week".Aku hanya mampu pejamkan mata dan tersandar.

Setiap hari isnin seperti biasa bermula jam 9 pagi hingga 10 pagi meeting wajib semua 'section head' bersama 'director/chaiman'.Meeting kali ini juga terasa begitu panas.Aku tidak lagi mampu untuk menepis dan menutup ruang dari serangan disetiap penjuru dalam erti kata lain aku redha jelah.Melihat kali ini peluang untuk mereka 'attack' aku terbuka luas maka dengan gembiranya mereka tabur peluru.Setiap soalan yang diberi berakhir dengan 'how'? dan 'why'?.Aku hanya diam dan sesekali melemparkan senyuman tawar namun dalam hati aku simpulkan satu tekad.

Habis meeting aku bergegas ke bilik director " This is my resign later..effective by today".sambil aku letakkan sepucuk surat.Sekali lagi soalan yang sama diberi "why? you got new job already?" Aku membalas "not yet..doesn't matter I will find it later" dia membalas "So why you want to resign?" aku katakan aku tidak mampu lagi siapkan semua yang ada sekiranya semuanya 'urgent'.Dia lantas menjawab "oh !!..no..no..no ..take it back..we will discuss later".Aku pulak bertanya "how? I only have one assistant to help me to do all this thing..it's not enough..you have to consider that".Balik semula ke pejabat pembantu aku pula berkata "saya pun nak berhenti lah kalau macam ni..tak tahan dah rasanya"..aku hanya mampu sabarkan dia sambil berkata "bebanan aku lebih berat satu masa nanti kau pun akan jadi macam aku..kalau macam ni pun dah tak boleh tahan macamana nak ganti aku nanti..aku bagi kau kerja dan siapkan satu-satu..tapi aku orang longgokkan semua..sumbat selagi boleh sumbat..buat je kerja macam biasa..jangan risau".Aku tidak memberitahunya apa yang terjadi antara aku dengan boss tadi.Esoknya aku kembali bertugas seperti biasa tugas tetap tugas tapi aku puas hati selepas dapat meluahkan isi hati aku pada boss... Alhamdulillah keadaan mula kembali sedikit tenang seperti biasa.

Sebenarnya aku masih sayangkan kerja aku kerana selama ini pun aku bekerja disini kerana tugas tersebut memang kena dengan minat aku tetapi bila berkeadaan seperti ini aku rasa lebih baik aku berundur kerana terasa tekanan yang amat melampau.Paling menyakitkan hati apabila melihat orang lain ketawa dan terus memberi tekanan apabila melihat kita ditekan.Walaupun aku cuba berlagak tenang itu belum cukup untuk mereka berpuas hati.Dimanakah slogan "If you have any problem, please discuss and communicate each other"..hmmmm

Balik dari kerja belum pun reda dengan kemelut tersebut tiba-tiba aku terima panggilan dari seorang rakan "hello friend..I have job for you..can we meet today"Aku katakan hari ini aku ada hal lain dan berjanji untuk bertemu keesokan harinya.Esoknya selepas habis waktu bekerja kami bertemu di kedai mamak tempat biasa kami berjumpa.Dia menawarkan aku untuk siapkan satu projek dan harga yang ditawarkan juga agak lumayan.Projek untuk membekal peralatan 'Lab'.Aku melihat beberapa keping drawing yang dia bawa sebagai sample.. kelihatan tidak begitu susah.Aku sebenarnya tak ada mood untuk buat kerja lain  ditambah dengan masalah dan bebanan di tempat kerja (Ini adalah kerja part time aku).

Aku menolak dengan baik dengan mengatakan aku tak ada masa nak buat tapi dia tetap merayu dan berkata "dont' worry I give you one week to complete it..just one floor first".Aku meneliti lagi drawing yang ditunjukkan ..kesemuanya tiga tingkat dan jumlah bilik untuk dibuat proposal hampir 250 bilik.Melihat aku diam dia berkata " Ok..how much you want?..dan dia up lagi 2 kali ganda dari harga asal.Kelihatan dia agak terdesak untuk segera siapkan projek tersebut dan akhirnya aku bersetuju..selain dari ingin membantu tawarannya juga menarik.Malam ini (malam ke 4) barulah aku dapat siapkan satu tingkat seperti mana yang dia inginkan maka dapatlah aku menulis di blog aku ini untuk seketika.Esok dan hari seterusnya akan bersambung lagi dengan tingkat seterusnya... dan entah bila aku akan kembali berpeluang menulis di sini..aku sendiri tidak pasti.

Begitulah secebis kisah kehidupan.Ada kalanya kita diuji dan ada kalanya kita menguji..ada kalanya kita memberi dan ada kalanya kita menerima...ada kalanya kita jatuh ada kalanya kita berdiri.Belum pun habis dengan cerita aku di Pejabat dan kerja part time tiba-tiba muncul pula cerita baru ..

INILAH DIRIKU...

Kini sejarah hidup aku telah memasuki episod yang ke 40.Walau apa jua tanggapan anda dan walau apa jua persepsi anda sila baca kisah ini hingga kepenghujungnya kerana anda mungkin akan mengenali siapa aku.Aku juga tidak mampu memaksa anda semua mempercayai segala apa yang aku coretkan kerana aku menulis sebagai catitan buat diri aku dan untuk tatapan orang yang ingin mengetahui perjalanan hidup aku terutamanya anak-anak dan cucu-cucu aku nanti.

Setelah anda mengikuti episod aku sebelum ini tanpa anda sedari anda sebenarnya membaca perjalanan dan liku-liku seorang lelaki yang dilahirkan sedikit kekurangan berbanding anda !!!. Walau apapun aku tetap bersyukur kerana masih ramai lagi insan diluar sana yang mungkin kecacatannya lebih teruk dari aku dan yang lebih mengkagumkan mereka juga tidak menjadikan alasan diri mereka yang cacat itu untuk tidak berusaha malah ada antaranya lebih berjaya dari mereka yang dilahirkan sempurna segalanya.

Mengikuti perjalanan hidup aku anda mungkin beranggapan aku seperti orang lain tapi sebenarnya aku melalui penderitaan sejak bersekolah lagi..namun ketika itu kesakitan tidak sangat aku rasakan tetapi bila berinjak dewasa ia semakin menekan urat sarafku.Bagaimana aku laluinya ??..segalanya terletak pada minda dan semangat dalam diri..jika kita berkata aku sakit apa aku boleh buat.. mana aku mampu buat ..tak mungkin aku boleh buat maka begitulah seterusnya corak kehidupan kita.

Ketika berusia 14 tahun abah ada membawa aku kehospital untuk menjalani rawatan tapi langsung tidak berkesan dan sekali itu sajalah aku pergi kerana aku tidak mahu membebani keluargaku dengan penyakitku ini.Setelah bekerja aku mencuba jalani rawatan secara tradisional di beberapa tempat tetapi langsung tidak berkesan.Ianya berlarutan sehinggalah aku berkahwin dan ketika usia semakin meningkat ia semakin menghimpit urat sarafku.Satu hari aku terfikir kenapa aku tidak cuba membuat pemeriksaan di hospital besar Kuala Lumpur mungkin disana ada cara lain yang boleh mereka lakukan. Setelah menjalani pemeriksaan dan x-ray kini baru aku faham tentang penyakit ini.Aku kemudiannya di bawa berjumpa doctor pakar dan hanya ada satu cara iaitu dengan membuat pembedahan.Aku merasa amat gembira kerana seakan telah diberikan harapan... malangnya kegembiraan aku hanya seketika apabila doctor menyatakan kos pembedahan tersebut adalah sebanyak rm18000 (18 ribu)..aku kembali tunduk bersama harapan yang tiba-tiba pudar.Di mana dan bagaimana aku boleh dapatkan duit sebanyak itu ?

Hari berikutnya aku lalui dengan hanya memikirkan apakah cara untuk mendapatkan duit sebanyak itu..duit EPF pun dah aku keluarkan untuk membeli rumah ..meminta derma dari orang ramai aku malu dan aku rasakan keadaan tidak terlalu terdesak untuk aku lakukannya..meminta dari keluarga dan saudara mara juga tidak mungkin akan aku lakukan atas alasan yang sama..jadi bagaimana?? Masuk kali ini entah kali ke berapa ingin aku ulangi bahawa Allah sememangnya sayangkan aku.. ketika beberapa kali berulang alik membuat pemeriksaan Dr bertanya bilakah aku bersedia untuk pembedahan dan aku katakan aku belum cukup duit dan entah bila juga duitku akan cukup..aku keluar dari bilik Dr bersama harapan yang kian kabur dan impian yang mungkin berkubur tapi ketika termenung aku dikejutkan dengan suara sister yang ada bersama ketika didalam bilik Dr tadi.Dia mengatakan kenapa tak cuba memohon dengan badan kebajikan hospital kerana penyakitku ini dikategorikan sebagai penyakit kronik.

Dengan harapan yang masih bersisa tanpa berlengah aku segera pergi memohon dan baru aku tahu rupanya dihospital kerajaan sememangnya ada peruntukan disediakan bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk menjalani rawatan tetapi hanya untuk penyakit kronik dengan kos yang besar.Setelah diinterview dan mengisi borang kini aku menunggu pengesahan dari pihak kementerian kesihatan samada lulus atau tidak.Aku memberitahu Dr yang aku menanti kelulusan dan pihak Dr memberikan kerjasama dengan mengatakan tarikh boleh ditetapkan bila aku sudah bersedia bersama kos pembedahan.

Dalam masa yang sama aku diperkenalkan pula oleh salah seorang saudaraku pusat rawatan traditional mirip seperti rawatan hospital bezanya hanyalah setelah pembedahan luka tidak dijahit cuma 'dia' sapukan dengan tangan luka tersebut bercantum.Ketika aku pergi ketempat ini keadaan memang sesak dengan pesakit melayu,cina dan india malah yang berkerusi roda pun ada.Aku diberitahu kos rawatan hanya rm2 ribu tapi aku agak sangsi dan sebenarnya aku lebih berharap pada rawatan Dr pakar yang sebenar.Penantian aku berakhir setelah setahun aku terima sepucuk surat mengatakan permohonan aku diluluskan.. Alhamdulillah.. dan aku segera berjumpa Dr untuk menetapkan tarikh pembedahan disamping itu aku mendapatkan info tentang penyakit ini dan risiko yang bakal aku hadapi melalui internet.

Tibalah hari aku mendaftar untuk masuk wad di HKL.Ditemani isteriku yang ketika itu baru sahaja habis waktu berpantang anak kami yang bongsu, aku ditempatkan diwad kelas 3.Setelah aku tunjukkan buku derma darah milikku aku segera di pindahkan ke wad kelas 2 yang lebih selesa. Dengan adanya kad derma darah ini juga selain aku layak tinggal di wad kelas 2 segala kos sepanjang aku berada didalam wad turut diberi percuma malahan wang deposit ketika mendaftar masuk wad turut dikembalikan.Ini bermakna segala yang aku terima adalah percuma kerana itulah aku katakan Allah Maha Esa..Maha Penyayang..Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani dan aku adalah insan yang bertuah kerana terpilih menerima anugerahnya.Syukur Alhamdulillah..

Pagi ini pakar bius datang menemui aku untuk perkenalkan dirinya dan menerangkan tugasnya yang akan  bersama pakar bedah sewaktu pembedahan dan kesempatan ini aku ambil untuk bertanya risiko pembedahanku nanti antaranya aku bakal lumpuh seumur hidup jika pembedahan gagal !!! dan kemungkinan lain akan berlaku implikasi pendarahan.Aku tiada pilihan hanya bertawakal sambil menurunkan tandatangan persetujuan untuk menjalani pembedahan.Jam 10 pagi aku menaiki 'stracher' untuk ditolak masuk kedalam dewan bedah.Dr yang melakukan pembedahan tersebut adalah Dr Syukur yang kini telah berpindah ke Hospital Pakar Seremban (KPJ).Setelah sama-sama bacakan doa aku diminta mengucap dua kalimah syahadah sebelum 'mask' ditekup ke hidungku dan saat itu juga duniaku gelap.

Selama 10 jam aku berada didewan bedah dan ketika membuka mata aku kini berada dibilik ICU...yang mampu aku katakan hanyalah syukur alhamdulillah..aku masih dibenarkan melihat dunia..melihat isteri dan anakku..dan melihat apa juga yang ada didunia ini.Tekakku terasa amat dahaga dan sewaktu isteriku masuk melihat aku, yang mampu aku lakukan hanyalah menulis ditapak tangannya perkataan 'air'.Sewaktu aku menjeling ke sebelahku aku seakan mahu tersenyum bila melihat produk dari syarikat aku bekerja yang aku sendiri hasilkan kini memberi sumbangan dengan merawat diri aku sendiri.

Setelah aku semakin pulih aku dibawa masuk kedalam wad.Masuk hari kedua aku berada didalam wad sewaktu masih terlantar sakit handset aku mula menerima sms bertalu-talu dari rakan sekerja bukan bertanya khabar tapi bertanyakan tentang projek yang sedang berjalan kerana ketika itu kami sedang dalam proses untuk menyiapkan 2 projek yang agak besar iaitu di Hosp.Sg Buloh dan Hosp. Temerloh disamping beberapa projek kecil yang lain.Meskipun aku belum mampu bergerak tapi aku gagahkan juga untuk membalas setiap mesej mereka. Seminggu terlantar aku diminta bangun dan berjalan.Pertama kali berdiri seluruh tubuhku menggeletar dan hanya beberapa minit saja aku berdiri aku kembali baring.Setelah berehat beberapa ketika aku kembali mencuba untuk berdiri dan perlahan-lahan aku cuba berjalan sambil dipimpin oleh isteriku.Masuk minggu kedua belum lagi aku dapat berdiri dengan stabil aku didatangi oleh rakan sepejabat.Aku ingat mereka ingin melawat aku rupanya mereka membawa layout projek baru untuk meminta pendapatku.Aku hanya memberi kerjasama setakat yang mampu kerana aku perlu segera berbaring disaat tubuhku masih lemah ketika itu.

Tidak cukup dengan itu boss meminta aku bertanyakan pada fisioteraphy apakah rawatan atau alat yang boleh membantu untuk mempercepatkan proses agar aku cepat sembuh dan segera kembali bertugas.Dr menyarankan agar aku menggunakan 2 alat iaitu alat untuk mengerakkan urat saraf yang dikenali sebagai "TENS" (pengaliran arus electrik melalui getaran kini semakin popular seperti kaedah Dr JISM). Keduanya adalah dengan berbasikal statik..maka terjawablah persoalan entry aku episod ke 31 iaitu kenapa syarikat hadiahkan aku basikal.

Sebulan lamanya aku tinggal di wad dan selama itu jugalah isteriku menemani aku..anakku yang baru lahir dijaga oleh mertuaku.Setelah aku dibenarkan pulang tidak lama selepas itu wakil dari sebuah majalah (majalah Nona) datang untuk interview isteriku bertanyakan pengalaman serta perasaan dia sepanjang dia menjaga aku.Anda boleh klik pada gambar yang aku sertakan dari majalah tersebut untuk membaca isi kandungannya.

Ada dua perkara yang ingin aku perkatakan disini setelah berakhirnya kisahku kali ini.Pertama untuk melawan kesakitan kita perlu tanamkan sikap positif didalam diri disamping menguatkan semangat yang ada dalam diri kita sendiri.Kedua jika sebelum ini mungkin anda tidak tahu bahawa pihak kerajaan ada menyediakan peruntukan ini (aku pasti ramai tidak tahu kerana aku juga tidak tahu sebelum ini) kini anda telah pun tahu maka jika ada diantara anda tidak kiralah samada keluarga,saudara atau rakan yang memerlukan bantuan gunakanlah kemudahan ini kerana ia telah tersedia disetiap hospital kerajaan kecuali klinik.


KAMI BERPINDAH

Aku tidak lagi dapat memandu motorsikal selepas pembedahan tersebut setelah dinasihatkan oleh doctor bagi mengelakkan aku jatuh dan menanggung risiko sekurang-kurangnya untuk satu tahun.Motor tersebut kemudiannya aku serahkan pada bapa mertua aku untuk digunakan dikampung.Aku juga tidak dapat lagi bersukan seperti bermain bola sepak atau sukan lain yang lasak dalam jangkamasa tersebut.

Belum pun masuk setahun aku terdengar khabar angin pihak syarikat ingin membeli bangunan sendiri (bangunan ini disewa) kerana bisness semakin maju.Terdengar juga beberapa tempat yang mereka cadangkan semuanya lagi jauh dari rumah sewa aku.Satu hari boss datang ke mejaku sambil membawa pelan bangunan tempat yang dia berminat nak beli.Aku terkejut bila dia bertanyakan adakah tempat itu dekat dengan rumahku.

Setelah diteliti memang dekat sangat dengan rumah aku.Rupanya memang dia dah tau lebih awal dari drivernya yang membawa dia kesitu kerana drivernya pernah datang kerumah aku semasa aku sakit dahulu.Boss aku pun satu juga masa dia tanya aku rakan-rakan lain semua pun ada maka selepas itu terdengarlah suara-suara sumbang yang menuduh aku yang bukan-bukan.Kenapa aku pulak nak disalahkan bukan aku yang suruh boss pilih tempat tu malahan aku sendiri pun tak tahu yang dia pergi kesitu.

Sebulan selepas itu confirm kami pindah ketempat tersebut dan pastinya berita ini amat mengembirakan kerana amat dekat dengan rumah aku sekitar lima minit memandu.Syukur Alhamdulillah..Allah permudahkan lagi perjalanan hidup aku.Memasuki bangunan baru boss memanggil tabib untuk melihat-lihat 'ong' di tempat baru ni.Aku sendiri tak tahu apa yang dibuatnya.Meja aku ditempatkan disebelah bawah 'I-Beam' yang dianggap tempat yg paling tak ada ong (org melayu kita pun kata tak elok kalau tidur bawah 'I-Beam' ni)  Aku hanya tersenyum bila diberitahu oleh mereka yang meja aku tu paling teruk 'ong'nya.Aku katakan pada mereka "kita sama-sama tengok betul ke tempat aku ni tak ada ong" 

Aku tak kisah sangat sebenarnya kerana pada aku walau dimana pun mereka tempatkan aku, walau di ceruk manapun mereka letakkan aku..aku tetap yakin dengan diri aku.Apa yang penting aku bekerja seperti biasa dan pejabatnya pula tidak jauh dari rumah aku.Waktu rehat aku boleh balik kerumah dan tak perlu lagi bersesak dengan jem atau membayar tol.Keluar pagi pun tak perlu terlalu awal.Oleh kerana rumah aku pun dekat maka kunci ofis pun boss buatkan untuk aku tapi yang tak bestnya waktu tengah malam kalau alarm berbunyi akulah yang akan dipanggil oleh syarikat yang mengendalikan system tersebut.Kalau dah pukul satu pagi memang aku tak bangun laaa..

Ketika ini aku masih tinggal di rumah sewa dan telah 5 tahun aku sewa disini dengan sewa bulanan sebanyak rm600.00 ringgit.Rumah yang aku sewa tu milik Dato Abu Seman (timbalan menteri pertahanan skrg ni) tapi hanya 3 kali aku dapat bersua dengan dia.Memang seorang yang baik dan ramah termasuk isterinya cuma anaknya mmm..kurang sikitlah..biasalah tu.Kalau dikira rm600 kali 5 tahun lebih kurang 36 ribu dah aku habiskan begitu saja belum masuk duit api dan air.Dah lama aku fikirkan untuk beli satu lagi rumah..rumah flet pun cukuplah tapi seperti sebelum ini masalahnya pada duit.Namun begitu aku tetap set kan di minda aku untuk dapatkan rumah ..bagaimana caranya ??..apakah aku berjaya? jika berjaya apa pula caraku kali ini... nantikan episod seterusnya.

TERUS MELANGKAH

Memasuki tahun ke 3 syarikat bertambah kukuh dan customer mula beralih pada kami.Syarikat tempat aku bekerja sebelum ini mula goyah.. berbagai kelemahan mula dihidu oleh pelanggan dan kesempatan itu segera kami rebut.

Kali ini boss disitu pula mengajak aku bekerja dengannya bersama syarikat yang bakal dia tubuhkan sendiri.Aku berterus terang yang aku selesa disini dan banyak yang telah aku curahkan..cukuplah jika boleh aku tidak mahu berpindah lagi.Aku ingin melihat syarikat ini berdiri kukuh satu masa nanti.Boss aku pula mengatur langkah bersama strategi pemasaran keluar negara dan kami berjaya menembusi pasaran Singapura dan seterusnya dia beralih pula ke negara China dengan menubuhkan cawangan baru disana.

Ketika boss ke luar negara dia tidak lupakan aku apabila dia menghadiahkan sebuah jam tangan yang dia beli dari Swiss tetapi adiknya yang bertugas dibahagian akaun  serahkan pada aku secara diam-diam tanpa diketahui oleh staff lain hingga hari ini.Aku yang jujur dan lurus ni pula komen jam tu patern org tua punya bila ditanya oleh dia...tapi untuk cover aku katakan aku akan simpan dan jaga jam itu sebagai kenangan sekaligus aku anggap ia penghargaan buatku.

Aku turut diberi kepercayaan membuat temuduga pengambilan staff baru iaitu position mekanikal engineer yang bakal membantu aku.Pelik juga engineer dikawal oleh supervisor hehe..apa-apa jelah yang penting ada orang membantu kerja aku.Setelah aku membuat tapisan maka beberapa candidate dipanggil dan rata-rata mereka mempunyai diploma atau degree.Bersama manager aku dan seorang lagi eksekutif kedua-duanya cina kami menetapkan 2 hari untuk seisi temuduga ini.Kesemua yang aku panggil adalah melayu dan Cina.

Perbezaan ketara adalah dari segi komunikasi yang mana bangsa cina penguasaan bahasa inggeris amat baik manakala melayu agak terkial-kial meskipun mempunyai tahap degree yang sama.Yang kedua dari segi 'self confident' yang amat aku perlukan.sekali lagi bangsa melayu agak lemah.Hari itu aku berhadapan golongan terpelajar dan tanpa mereka sedari orang yang interview mereka hanyalah berkelulusan SPM sahaja.
Paling aku tidak boleh lupa adalah seorang gadis yang berkelulusan degree dari U.K.Soalan lazim yang biasa aku tanya adalah "what is your strength and what is your weakness..please explain" ketika itu dia menjawab "err..can i speak malay" aku terkejut dan serta merta aku minta sijilnya untuk memastikan apakah sijilnya origional.Melihat pada sijilnya memang sah ori dengan cop dari university di UK.

Aku bertanya lagi kalau dia tak tahu berbahasa inggeris macamana dia bertanya pada lecturenya masa dia study dan jawapan dia lebih mengejutkan bila dia katakan yang dia akan menyuruh rakannya bertanya.Aku terasa malu bila manager dan eksekutif mula tersenyum sumbing melihat gelagatnya.Menambahkan lagi episod malu bila diakhir temuduga dia merayu-rayu agar diberi peluang kerana dia amat perlukan kerja.Ingin aku katakan dan ingin aku ingatkan pada sesiapa juga yang membaca tulisan ku ini jangan sesekali melakukan sedemikian kerana confirm serta merta nama anda akan digugurkan.

Aku akhirnya memilih seorang fresh graduate lulusan dari USM.Apa yang menarik tentang dia adalah pertama yang aku lihat file sijilnya cukup kemas dan bersih dan di attachkan sekali dengan kreativitinya membuat lukisan walaupun hanya lukisan kartun.Yang kedua adalah tentang dirinya..dia mempunyai keistimewaan tersendiri dimana kedua-dua tangannya berfungsi dengan baik kerana aku lihat dia boleh menulis atau melukis samada tangan kiri atau kanan.Begitu juga semasa berbicara kedua-dua belah tangannya juga nampak tidak kekok ketika melakukan pergerakan dan aku upkan lagi gajinya sebanyak rm100 lagi!!.sayangnya dia hanya bersamaku untuk 3 bulan sahaja sebelum dia memilih untuk bekerja dengan abangnya.

Peristiwa lain yang akan aku kenang apabila pihak syarikat menganjurkan pertandingan mencari group yang paling kreatif membuat design salah satu produk yang kami hasilkan.Mereka perlu mencari idea merekacipta mengikut gaya dan kreativiti masing2 tetapi masih perlu mengikut spesikasi yang ditetapkan.Sekali lagi aku terpilih untuk menjadi pengadil pula.Hari itu buat pertama kali kaki aku melangkah masuk ke kolej Lim Kok Wing yang tidak perlu diperkenalkan lagi.Hari itu juga aku berdiri dihadapan pelajar art & design memberi ucapan meskipun dalam bahasa "english pasar" aku tak peduli asalkan mereka faham penerangan aku hehe..Wahai pelajar yang terlibat orang yang berdiri memberi ucapan itu sebenarnya adalah aku..aku yang hanya berkelulusan SPM sahaja tapi masih mampu berhadapan dengan kamu semua..Lihatlah wahai teman..wahai pembaca..wahai pengunjung blog aku.. yakinlah pada diri kita yang kita mampu lakukan tak kira walau siapa pun kita dan aku telah pun buktikan ..

Episod seterusnya pengakuan eksklusif dari aku yang bakal membuatkan jantung anda semua berdegup kencang..nantikan episod seterusnya.. episod ke 40!!

KU SERAH SEGALANYA

Kali ini aku menjadi keliru dalam membuat keputusan.Gerak hati dan naluri hanya membisu sementara minda turut terdiam kaku...seolah-olah merelakan kemana saja kakiku menjejak memilih arah.Aku bertanya pada rakan berkenaan syarikat ini dan mereka meyakinkan aku syarikat yang baru dibeli ini mempunya dana kewangan yang kukuh kerana 'owner' baru ini turut mempunyai 5 buah lagi syarikat lain yang pastinya boleh bertindak sebagai backup.

Setelah diyakinkan aku terfikir bagaimana aku harus berhadapan dengan boss di tempat aku bekerja ketika itu..aku terasa segan dan serba salah untuk memberitahunya.Oleh kerana aku belum disahkan jawatan kerana baru bekerja 2 bulan maka aku ambil keputusan hanya memberi surat resign melalui e-mail.Setelah mendapat gaji aku segera mengirim e-mail pada hari terakhir aku bekerja.

Minggu pertama aku lihat keadaan syarikat ini seakan lesu.Tiada suasana riuh rendah membincangkan perihal projek.Ketika ini apa yang aku perhatikan semua projek mega telah dibolot oleh syarikat yang sebelum ini aku bekerja.Aku hanya memerhatikan sekeliling dan persekitaran bangunan sambil memikirkan apa sumbangan yang seharusnya aku berikan..mindaku mula berbisik alang-alang melangkah teruskan jejakmu manakala naluri berkata inilah masa kau buktikan kemampuanmu.Aku berpeluang bercakap dengan director yang agak ramah dan selepas itu kami sering berbual terutama sekali ketika staff lain telah pun balik.Dari perbualan dapat aku rasakan dia turut sugul dan sesekali mengeluh kerana syarikat masih belum stabil dan dia juga tidak melayan aku sebagai staff bawahan seperti boss2 lain meskipun ketika itu aku hanya seorang draftman.Sejak itu aku bertekad untuk membantu menaikkan nama syarikat dan akan aku serahkan segala skill , idea , kudrat termasuk pengalaman yang ada.Aku tanamkan cabaran pada diri aku sendiri bagi membuktikan yang aku mampu lakukannya.Syarikat ini aku anggap seperti syarikat aku sendiri.

Masa berlalu telah 3 bulan aku bekerja disini dan aku telah disahkan jawatan.Ketika itu hanya beberapa projek kecil sahaja yang kami dapat dan ketika itu aku semakin kerap berbual dengan boss kerana biasanya hanya kami berdua yang sering balik lewat biasanya hingga jam 8 malam.Banyak perkara yang kami bincangkan dan banyak juga idea aku yang dia terima.Langkah pertama adalah membuat showroom selengkap yang boleh kerana aku berpendapat showroom ibarat pakaian yang kita pakai disebalik wajah yang sedia ada.Aku juga katakan yang aku yakin syarikat ini akan bangkit semula.Setelah itu design kami dipertingkatkan dengan membaiki kelemahan yang ada.Apa sahaja requirement dari client kami cuba penuhi dan setelah 6 bulan semakin ramai yang mula membuka mata pada syarikat ini.

Tarikan utama sudah pastilah showroom yang kelihatan lengkap dan menarik.Keadaan sebaliknya pula melanda bahagian sales&marketing yang mana staff nya bersilih ganti kerana tidak mampu teruskan cabaran untuk membawa order masuk dan tahun pertama berlalu tanpa projek mega hanya projek kecil yang belum cukup untuk menampung kos syarikat.Memasuki tahun ke 2 bayang peningkatan mula ketara.Aku pula di naikkan pangkat sebagai penyelia technical dan gaji aku di upkan lagi sebanyak rm300 dan sudah semestinya orang pertama yang aku cari untuk belanja makan adalah rakan engineer aku dulu.Kami terus memberi tekanan pada competitor kami iaitu syarikat lama yang aku bekerja dulu.Hasil kerja keras client mula beralih arah pada kami dan ketika wajah director mula berseri bersama projek mega yang mula menjengah.

Melihat mereka semakin goyah kami semakin agresif menyusun strategi dan sesekali aku turut turun padang membantu rakan2 marketing.Walau kepenatan aku puas dan gembira kerana akulah antara yang menjadi perintis.Selain itu akulah juga tempat boss aku mengadu sewaktu ketiadaan orang lain.

Tanpa aku sangka boss mengambil tindakan drastik dengan meyingkirkan beberapa orang staff lama kerana menganggap mereka itu tidak memberi apa2 sumbangan pada syarikat dan mereka juga dianggap liability pada syarikat.Aku sedih kerana rata-rata mereka adalah melayu tapi aku tidak mampu berbuat apa-apa meskipun mereka juga rakanku.Satu hari boss memanggil aku kebiliknya dan aku melangkah lemah disaat menuju ke ofisnya.Pertanyaan pertama dari dia padaku "Why you looks so worry..are you scare?" dan aku membalas "yes of course..with current senario..i don't know when is my turn" dia hanya tersenyum melihat aku sambil mengatakan dia ada sebabnya yang tersendiri.Meskipun dia cuba menerangkan agar aku berpuas hati tapi jauh disudut hati aku mula bersarang kebimbangan.Aku melangkah keluar dari pejabatnya dengan lemah kerana sebolehnya aku tidak mahu lagi berpindah ke tempat lain..

Hari seterusnya aku hanya mampu bertawakal..keadaan aku dan mereka yang tinggal ketika itu ibarat banduan yang menanti hukuman..Apa yang aku mampu lakukan setiap pagi ketika melangkah keluar aku mulakan langkah dengan kaki kanan bersama doa "Bismillahhirrahmanirrahim...aku pergi kerja untuk mencari rezeki kerana allah taala" dan ketika balik aku ucapkan "Alhamdulillah..masih ada rezeki untuk aku hari ini"..jauh disudut hati aku masih sayangkan syarikat ini dan aku bangga dengan sumbangan serta pencapaian setakat ini...tapi apakah aku mampu bertahan?? nantikan episod seterusnya..

PERISTIWA BERDARAH

Pastinya ramai yang masih ingat pada peristiwa pergaduhan di Kampung Medan.Ketika bekerja disini aku menyewa disalah sebuah flet yang terletak di Taman Dato Harun.Oleh kerana kampung medan dan taman dato harun terletak bersebelahan maka bahangnya turut merebak ke Taman Dato Harun.

Pada awalnya kami sangkakan hanya pergaduhan biasa berpunca dari rasa tidak puas hati antara 2 pihak tapi keadaan menjadi semakin tidak terkawal menjadikan sekitar kawasan tempat tinggal kami bagaikan pilihanraya.Anak-anak muda riuh dengan deruman motosikal ke sana dan kemari.Oleh kerana Kg Medan dan Tmn Dato Harun majoritinya Melayu maka yang aku lihat hanyalah pemuda-pemuda melayu dijalanraya manakala kubu kaum India terletak di Kg Ghandi yang berhampiran dengan Kg Medan.Isteriku yang ketika itu bekerja diminta oleh majikannya untuk mengambil cuti manakala aku bekerja seperti biasa.Ketika balik dari kerja beberapa buah motorsikal aku lihat telah dibakar dan ditinggalkan ditepi jalan dan ketika melewatinya ia masih berasap bermakna kejadian tersebut masih baru.

Kawasan flet tempat tinggalku hanya beberapa keluarga India sahaja yang ada dan rumah mereka dikawal oleh anggota rela.Kami diingatkan oleh ketua flet agar sama-sama menjaga keselamatan kws flet kami maka kami diminta untuk memberi kerjasama untuk mengawal dilaluan masuk dan keluar ke flet kami.Dia juga memberi ingatan sekiranya terdengar laungan takbir ditengah malam semua kaum lelaki diminta turun bersama apa saja senjata yang ada.Malam itu aku memang tak boleh tidur disamping risau keadaan juga masih riuh rendah dengan bunyi kenderaan dan helikopter yang membuat rondaan.

Tiba-tiba sekitar jam 2 pagi sayup-sayup aku terdengar laungan takbir beberapa kali.Aku segera membuka tingkap dan menjenguk ke bawah.Beberapa pemuda kelihatan beriringan berjalan bersama senjata masing2.Aku segera mencari senjata apa yang aku ada hanyalah pisau dan parang kontot itupun parang untuk potong daging masa kenduri kahwin kemudian aku teringat besi panjang (stainless steel) kira-kira 1.5 meter tersandar didinding lantas mencapainya dan aku kira ianya lebih baik dan agak padu jika nak dibandingkan dgn parang kontot.Aku segera bersiap dan memakai kasut but (safety boot tpt kerjaku)lantas segera berlari turun kebawah.Kelihatan dibawah org ramai telah berhimpun bersama senjata mereka yang rata-ratanya membawa pedang.Mereka datang dan memeriksa senjata aku.."ini je ke yang kau ada?" kata salah seorang dari mereka dan aku sekadar mengiyakan kerana kataku ini sajalah senjata yang paling sesuai.

Setelah itu kami dipecahkan kepada 2 kumpulan satu dipintu masuk depan dan satu dipintu belakang.Oleh kerana kws kami itu berpagar maka kemungkinan hanya itu laluan masuk atau keluar kecuali kalau mereka memnjat pagar.Kira-kira 2 jam kami mengawal dan melihat tiada apa berlaku masing2 kembali semula kerumah.

Beberapa hari selepas itu ketika aku pulang dari kerja sebaik saja aku memasuki kawasan flet aku lihat orang ramai seperti mengerumuni sesuatu.Aku segera parking motosikal dan pergi melihat apa yang berlaku.Apa yang aku lihat adalah mereka sedang membelasah seorang India yang tidak tahu muncul dari mana.Ketika aku hampiri anggota rela juga turut sampai dan mengawal pemuda tersebut dari terus dibelasah.Meskipun dikawal dia masih belum lepas dari dibelasah mengunakan kayu dan helmet.

Agak lama juga keadaan berlarutan (rasanya 2 minggu lebih kemudiannya merebak ke Kelang) terasa hidup amat tidak selesa.Pergi kerja pun fikiran teringatkan keselamatan anak isteri dirumah..nak pergi kekedai pun mata terpaksa memandang kiri kanan dan aku pernah ditegur oleh polis peronda ketika menunggang membawa isteri dan anakku agar segera balik kerana baru saja berlaku kejadian pembonceng motosikal ditetak di Pantai Dalam yang agak hampir juga dengan kawasan sini.

Melalui pengalaman seperti itu aku segera terbayangkan tragedi 13 Mei yang aku rasa lebih dasyat.Walau apapun Kami amat berterima kasih kepada pihak keselamatan yang berjaya mengawal keadaan.Aku harap tragedi seperti ini tidak berulang lagi namun melihat pada keadaan semasa ketika ini aku rasakan seolah-olah ramai yang teringin sangat untuk berperang dengan berbagai cerita yang berbau perkauman.Apakah mereka ini merasa mereka hebat?? gagah sangat ke?? seronok sangat ke nak hidup macam tu? Lihat saja bagaimana keadaan jiran kita Thailand ketika ini..apakah kita ingin menjadi seperti itu..??mungkin ada yang teringin sangat nak rasainya sebab tak pernah alami..

Yang aku pasti bila ianya terjadi semua pihak akan menuduh satu sama lain..dan naluri aku turut mengatakan ia pasti akan berulang suatu hari nanti jika beginilah keadaannya...wallahhualam.

AKU DI BURU

Beberapa hari mencari akhirnya aku bertemu dengan satu iklan jawatan kosong berhampiran dengan tempat kerjaku ini dan tanpa berlengah aku segera memohon.
Ketika dipanggil untuk temuduga aku terkejut melihat salah seorang staff disitu yang aku kenali.Kami dulu sama bekerja dengan syarikat Sweden dan dialah orang pertama yang kena terminate dulu.Kami berbual seketika sebelum aku dibawa berjumpa dengan manager bahagian yang aku pohon.Alhamdulillah...kali ini lebih mudah tak perlu interview lama-lama dan tak perlu tunjuk apa-apa sijil sebab dah ada 'cabel'.Aku diterima bekerja tanpa banyak soal beserta gaji yang aku minta dan esoknya aku diminta terus datang memulakan tugas.Aku meminta tempoh seminggu untuk selesaikan kerja aku kemudian barulah aku akan datang kesini dan dia setuju.

Syarikat ini adalah syarikat dari U.K tapi aku lihat keadaannya tidak seperti syarikat mat saleh yang lain. Mungkin kerana pengurusannya banyak diserahkan kepada boss yang rata-ratanya cina maka sistem disitu agak kelam kabut.Minggu pertama disini aku lebih banyak memerhati dan cuba memahami sistem yang mereka buat.Masuk minggu ke 2 aku diberikan satu tugas untuk disiapkan segera.Oleh kerana aku belum mahir dengan produk tersebut maka aku hanya mengikut gambaran yang diberikan oleh ketuaku.Setelah  barang sampai aku hanya terdiam bila melihat barang tersebut tidak dapat dipasang kerana drawing yang aku berikan banyak silap.Itulah padahnya bila kita berbuat sesuatu yang kita tidak faham!!.Nasib baik juga boss menyebelahi aku ketika itu dengan alasan aku masih baru.Setelah melakukan beberapa modifikasi akhirnya barang tersebut masih boleh digunakan dan segera dieksport ke India..

Tugas ke dua dan seterusnya aku lebih berhati-hati dan jika ada kesilapan pun hanyalah kesilapan kecil sahaja.Tugas yang paling mencabar aku terima bila boss meminta aku design satu peralatan untuk dibuat testing.Aku segera mengumpulkan segala bahan-bahan yang aku perlukan mengikut design aku sendiri.Selepas itu aku present pada dia concept beserta fungsi alat tersebut.Setelah dia berpuashati aku memulakan tugas membuat drawing pula untuk diserahkan pada purchasing. Agak lama juga aku mengambil masa untuk siapkan tugas tersebut kerana 'tolerance' yang diperlukan amat kecil.

Ketika itu berlaku sedikit kekecohan apabila suatu hari kami semua tidak dibenarkan pergi bersembahyang jumaat kerana kami diminta menyiapkan tugas pada hari juga.Kami semua berkumpul tanda protes dan manager kami datang dan bertanyakan "siapa yang nak pergi masjid?".Kami semua setuju dengan mengangkat tangan malangnya ada pulak seorang yang tidak setuju.Alasannya sembahyang jumaat boleh digantikan dengan sembahyang zohor!!..kami semua tersentak dengan alasan yang dia berikan kerana takkan kerana hal seperti ini kami boleh gantikan dgn sembahyang zohor...sampai sekarang aku masih tertanya-tanya boleh ke dalam keadaan seperti itu??

Memasuki bulan ke dua aku terkejut apabila satu hari rakan lama (dari syarikat sweden dulu) menefonku.Dia mengajak aku berjumpa sambil minum-minum kerana dah lama tak jumpa.Rupa-rupanya dia cuba memujuk aku join semula ke syarikat lama.Syarikat Sweden tersebut telah dibeli oleh seorang wanita cina.Awal-awal lagi aku nyatakan aku tidak bersetuju kerana ketika itu syarikat tempat aku bekerja tengah naik dengan order yang agak banyak dari local dan luar negeri.Aku katakan aku tidak mahu berlaku lagi peristiwa seperti dulu.
Dia masih tidak jemu memujuk aku dan buat kali kedua kami keluar sekali lagi.Kali ini dia membawa pula rakannya seorang director dari syarikat lain untuk sama-sama memujukku.Rupa-rupanya rakanku ini turut ada share dalam syarikat yang baru di beli oleh cina tadi.Setelah bercerita panjang lebar akhirnya aku katakan biarlah aku fikirkan dulu.Setelah itu aku balik untuk berbincang dengan isteriku dan seperti diduga isteriku juga tidak setuju atas alasan yang sama bimbang perkara yang sama berulang.

Setelah itu aku hanya diamkan diri tanpa menelefonnya tapi tidak kusangka AKU TERUS DIBURU. Suatu hari aku terima panggilan dari rakanku yang terus menelefon ke ofis aku.Aku berasa agak kurang senang kerana aku bimbang jika boss tahu dia telefon aku.(kami adalah competitor - produk yang sama) lantas aku memberitahunya yang aku rasa kurang selesa dengan caranya.Dia hanya ketawa sambil berkata "jangan risau la..aku menyamar jadi agen court mammoth"..bila pulak aku hutang dengan court mammoth hehe..Dia masih bertanyakan tentang jawapan aku sementara aku cuba berdolak dalih dan untuk menyingkatkan perbincangan dengan dia aku minta tempoh 2 minggu.

Selepas itu aku teringat pada rakan engineer aku dulu lantas aku segera aturkan masa untuk berjumpa dengannya.Aku perlukan pendapat dari dia pula kerana aku tahu dia seorang yang berfikiran positif dan terbuka.Ketika bertemu dengannya aku segera menceritakan apa yang berlaku dan meminta pendapatnya.Jawapan yang aku terima sungguh bernas..dia memberi cadangan supaya aku upkan gaji aku dan lihat adakah mereka masih mahu terima dan itu juga bermakna itulah market value diri aku tapi kalau mereka tak terima aku boleh terus bekerja disini. terima kasih kawan...

Aku balik dengan senyuman dan segera menyiapkan resume aku yang ala kadar saja.Seperti yang rakanku cadangkan aku upkan gaji aku ketika itu melonjak naik tambah rm1000.Melihat pada angkanya aku hanya tersenyum kerana kalau nak ikutkan entah berapa tahun lagi aku perlu kerja baru dapat kenaikan sebanyak itu..Seperti yang dijanjikan aku bertemu dengannya sambil membawa resume aku..Setelah melihat resume aku dia cuma tersenyum sambil berkata "banyak ni je kau minta ..cukup ke?"

Haaaa !!!...pertanyaannya itu membuatkan aku terlopong sambil tersenyum sumbing dalam hati aku berkata "kenapa tak cakap awal-awal.".Aku kini dalam dilema apakah aku mahu terima tawarannya..alasan apa lagi nak aku berikan?? Apakah aku yakin dengan syarikat ini ??dan apakah keputusan aku...nantikan episod seterusnya

HATIKU TIDAK IKHLAS

Memasuki perkarangan syarikat ini aku melangkah menaiki tangga dengan lesu.Persekitaran kilangnya yang kotor membuatkan aku langsung tidak bersemangat.
Melangkah masuk kepejabat yang terletak dihujung tingkap memaksa aku melewati ruang yang gelap yang sengaja tidak dipasang lampu bersama bau yang kurang menyenangkan..

Sejujurnya ingin aku katakan yang aku tidak ikhlas bekerja disini.Tugas utama aku adalah meleraikan komponen mesin yang pihak syarikat import dari luar negara dan di buat semula dengan menggunakan jenama syarikat...bahasa mudah cetak rompak.Aku mengambil segala ukuran dan spesifikasi bersama dengan manager aku dan kami berdua akan serahkan semua dokumen kepada production line untuk membuat salinan.Bersama sebuah 'CNC machine' dan beberapa peralatan lain produk dihasilkan berpandukan drawing yang aku berikan.

Dalam diri aku sebenarnya berasa serba salah melakukan kerja ini tapi aku terpaksa bekerja untuk meneruskan hidup tambahan pula aku sebenarnya menanti proses syarikat bekas boss aku siap.Setiap pagi aku melangkah menuju ketempat kerja dengan hati dan jiwa dan kosong.Dalam masa yang sama aku terus menanti panggilan dari rakanku kerana kini telah memasuki 2 bulan aku bekerja disini.Telah aku ingatkan padanya jangan sampai genap 3 bulan kerana sukar untuk letakkan jawatan.

Pertengahan bulan ke 3 aku lega bila menerima panggilan dari rakanku dan kami bersama rakan engineer aku dulu berjumpa untuk berbincang mengenai syarikatnya.Aku agak berpuashati mendengar penjelasannya. Rakan engineer aku telah pun bekerja dengan dia lebih awal.Sebaik sahaja menerima gaji aku segera  memberi notis 24 jam dan aku katakan pada manager aku yang aku tidak akan datang lagi atau melayan apa2 panggilan dari pihak syarikat.Namun aku dan manager aku (Cina yang berasal dari Sabah) masih kekal berhubung hingga hari ini.

Awal pagi aku bertolak ke tempat kerja baru.Kali ini hatiku lebih lapang dan teruja untuk melihat suasana pejabat rakanku.Meskipun dia tidak mampu memberi gaji yang tinggi (sama seperti gaji dikilang cetak rompak tu) aku tak kisah kerana aku lebih pentingkan kepuasan bekerja.Sampai dipejabat aku lihat ruang pejabat agak daif serta sempit tapi aku tak hiraukan itu semua tekadku hanyalah untuk sama-sama membantu dia menaikkan syarikatnya..pasal imbuhan fikir kemudian hari asalkan dia tidak lupa diri bila dah kaya.

Kami bertiga bertungkus lumus untuk segera menyiapkan segala design mengikut yang dirancangkan dan beberapa katalog kami jadikan rujukan.Untuk memudahkan lagi kerja kami belajar pula menggunakan perisian 3D (3 dimensi) dan engineer itulah juga yang banyak mengajar aku kerana dia terlebih dahulu belajar dari aku.Boss kami mula tumpukan pada 'sales and marketing' manakala dari aspek teknikal diserahkan kepada aku dan rakanku.Kami berdualah yang membuat design dan kami berdua jugalah yang membuat prototype dan memasangnya di show room untuk memudahkan pelawat melihat dan kami berdua jugalah yang akan memasangnya nanti jika mendapat order.Selepas itu boss mengambil seorang lagi bagi membantu kami.Rakan baruku ini bernama Muhammad bin Mohd Top (tapi aku tak pasti adakah dia adik kepada arwah Nordin Mohd Top) apa yang pasti dia memang cukup bijak tapi pendiam.

Telah 5 bulan kami bekerja disini tapi satu order pun kami belum dapat.Kasihan melihat muka boss aku kami berdua pula keluar mencari projek.Dari contact yang aku ada maka aku berjaya membawa order yang pertama buat syarikat meskipun projek tersebut tidak terlalu besar sekurang-kurangnya invoice pertama telah terbang.Setelah menerima wang pendahuluan kami berdua jugalah yang memasangnya di site.Keringat mencurah2 kerana pemasangan memerlukan kami berada diatas syiling yang hampir dengan bumbung namun kami puas setelah segalanya berjaya dipasang dan berfungsi dengan sempurna.

Dalam diam rakanku mula memasang impian lain setelah 10 bulan kami bekerja disini.Sebenarnya aku turut menyokong impiannya untuk membuka syarikatnya sendiri.Lantas dia membuka langkah mencari rakan kongsi yang mampu keluarkan modal namun dalam masa yang sama dia masih bekerja seperti biasa.Setelah berjaya mendapat rakan kongsi maka syarikat mereka didaftarkan.

Naluri aku kembali resah melihat keadaan ini.Aku berpesan padanya agar berhati-hati bimbang kalau boss kami tahu nanti.Aku risau kerana jika boss tahu kemungkinan aku juga akan dilibatkan sama.Kebimbangan aku menjadi kenyataan apabila suatu hari kakiku seakan ditarik untuk turun ke pejabat bawah yang menempatkan fax machine aku terlihat senarai syarikat bersama nama pemiliknya yang difaxkan oleh pihak ROC (pejabat pendaftaran syarikat) dan nama yang keluar adalah nama rakanku.Ini bermakna boss aku telah berjaya menghidu niat rakanku.Aku segera memberitahu rakanku yang rahsianya telah diketahui dan dia meminta tolong agar aku kemaskan barangnya dan beberapa minit kemudian dia datang membawa barang-barangnya pergi.Setelah itu boss aku masuk dan bertanyakan samada aku ternampak apa-apa dokumen dari fax mesin tapi aku hanya berkata aku tidak tahu.

Setelah itu boss aku meminta satu lagi salinan dari pihak ROC dan salinan itu ditunjukkan padaku.Malang buatku apabila nama rakan kongsi yang tertera disyarikat rakanku tadi adalah sama dengan namaku cuma nama bapa saja berbeza.Meskipun aku menafikan boss tetap mengatakan itu adalah aku dan dia mengatakan yang dia telah hilang kepercayaan pada aku.Aku akur kerana tiada guna lagi aku bekerja jika aku tidak lagi dipercayai dan pastinya kami tidak lagi rasa selesa.Atas dasar seorang rakan dan menghargai apa yang aku lakukan selama ini maka dia memberi peluang selama sebulan untuk aku mencari kerja lain..Aku sangkakan aku akan lama disini tapi begini pula kisahnya..

Setelah itu aku datang bekerja hanya sekadar melengkapkan tugasku selebihnya masa aku dihabiskan dengan mencari kerja di Job Street atau HotJob dan juga dari akhbar..Rakanku memohon maaf padaku kerana menyebabkan aku terbabit sama dan aku maafkan dia serta dalam masa yang sama aku terus menjadi pendorong pada dia agar dia terus berjaya bersama syarikatnya..syarikat bumiputera..
Berjayakah aku mendapat kerja ?? Apa pula kisah kerja aku selepas ini ??
nantikan episod seterusnya...

DARI JEPUN KE SWEDEN

Hari ini aku adalah hari pertama aku memulakan tugas disini.Syarikat ini adalah sebuah syarikat dari Swedish.bermakna ini adalah transformasi dari timur (Jepun) ke barat (Swedish).
Melihat bangunannya setinggi 12 tingkat dari luar kelihatan cukup gah dengan tingkap cermin warna biru dan bangunan inilah yang dipamerkan dimuka depan katalog syarikat.Rupa-rupanya mereka hanya menyewa disatu tingkat iaitu di tingkat 6 sahaja itupun hanya separuh.Satu strategi perniagaan yang bijak dengan memaparkan bangunan secantik itu dimuka depan katalog hakikatnya mereka hanya menyewa tak sampai pun separuh tingkat.
Hari pertama yang aku lalui amat membosankan.Jawatan aku adalah sebagai technician cuma bezanya dahulu dalam sektor elektronik tapi disini lebih kepada mekanikal dan engineering.Juga terdapat 6 orang lagi technician selain aku.Di sini aku lihat mereka semua hanya duduk melepak.Di satu sudut ada yang baca paper manakala disatu sudut lagi ada yang bermain carom..suasana begini membuatkan aku resah kerana tak tau nak buat apa sebab ditempat lama dulu masuk saja waktu kerja memang sentiasa sibuk dengan bermacam kerja.Jam 10 pagi pula tea lady datang membawa dulang bersama minuman dan sekali lagi pada jam 3 petang. Jauh beza betul suasana kerja disini..aku ibarat burung yang terlepas dari sangkar kerana dulu disyarikat jepun mereka amat utamakan disiplin tapi disini semuanya bebas.Datang lewat pun tak apa..nak pakai baju apa pun tak kisah dan tiada siapa peduli kita nak buat apa…kalau boss lalu pun dia cuma pandang saja dan lagipun ketika itu memang tak ada kerja sebab projek belum dapat.  
Masuk hari ke 2 aku dah mula merasa lemas dengan keadaan sebegitu, rasa nak patah balik je ketempat kerja lama tapi tak mungkin sebab aku dah beri surat berhenti.Kemudian aku disapa oleh 2 orang rakan disitu dan salah seorangnya adalah supervisor kami.Mereka bertanya kenapa aku datang kerja kat sini dan apa yang aku harapkan disini?.Aku menjawab aku kesini kerana tempat kerja lamaku dah mula nak pindah ke sarawak dan aku juga katakan demi masa depan aku juga.Bila aku katakan untuk masa depan mereka ketawa berdekah-dekah.Aku hanya senyum melihat mereka ketawa tapi dalam hatiku berkata "kenapa pulak..salah ke aku cakap mcm tu" mereka bertanya lagi apa yang aku target disini.Selagi lagi mereka ketawa berdekah2 bila aku katakan aku berminat untuk design apa-apa produk disini yang pada pandanganku nampak menarik cuma produknya tak banyak.

Sekali lagi aku tersenyum melihat mereka ketawa mengejek.Namun dalam hatiku mula menyimpan azam yang aku akan buktikan aku mampu lakukan.Walau tak setaraf designer sekurang-kurangnya akan ada sentuhan cetusan dari ideaku dan diterjemahkan dalam bentuk produk meskipun hanya secebis.Aku juga faham dengan kelulusan yang aku ada memang tak layak bergelar designer tapi apa salahnya kalau aku nak curahkan idea aku.

Hari berikutnya aku datang bekerja dengan melakukan bermacam kerja untuk mengelakkan rasa bosan. Mereka yang lainnya hanya duduk atau melakukan aktiviti masing2 sampai ada yang bermain daun terup..cukup masa mereka berkumpul untuk minum.Aku pula banyak kemaskan barang2 yang bersepah sambil menyusun disatu tempat dan masa selebihnya aku hanya duduk melukis produk di situ untuk menambahkan lagi pengetahuanku tentang produk yang ada disamping menanti masa untuk balik. 
Seminggu berlalu dengan situasi yang sama.Aku mula meninjau ke department yang baru dibuka iaitu dept. R&D yang mana ada staff melayu baru saja masuk sebagai engineer.Disitu hanya dia berdua bersama managernya keturunan Cina.Dia rajin berbual dengan aku mungkin sebab sama-sama orang baru dan lama kelamaan aku semakin rapat dengan dia.Aku sukakan sikapnya yang lebih positif berbanding dengan yang lainnya.Aku bertanya jika ada apa2 kerja yang boleh aku buat untuk dia.Dia bersetuju dan memberikan aku sedikit kerja untuk membantu dia dan yang sering aku lakukan adalah pergi ke SIRIM untuk mencari standard yang dia minta.Balik dari SIRIM ada masanya sehari suntuk aku habiskan masa dengan fotostate standard tersebut. 
 
Lama kelamaan aku semakin kerap berada di dept R&D dan aku banyak membantu mereka berdua. Dalam masa yang sama aku melihat cara2 dia melukis menggunakan software AutoCad.Melihat aku berminat, dia mengajar aku cara2 nak gunakan software tersebut Dia hanya mengajar aku membuat line,kotak,segitiga dan bulatan (cara ini juga aku ajarkan pada rakanku yang lain).Pertama kali mencuba aku rasa teruja bila aku berjaya lukis kotak dan bulatan.Namun kerana kesibukannya maka peluang itu jarang aku perolehi.Hatiku mula meronta untuk belajar lagi dan apa yang aku buat adalah mengambil peluang belajar selepas dia balik.
Ada masanya aku hanya berseorangan di office belajar seorang diri hingga jam 10 malam tanpa claim overtime tapi aku tak kisah asalkan aku dapat apa yang aku mahu.

Rakanku terkejut melihat aku semakin cekap mengunakan software tersebut dalam masa yang singkat dan selepas itu aku diberi kepercayaan untuk membuat beberapa lukisan yang mudah.Semuanya aku lakukan selepas dia balik dari kerja dan keesokannya aku serahkan pada dia.Melihatkan kesungguhan dan minat yang aku tunjukkan manager memohon satu komputer buatku dan selepas itu satu meja disediakan untukku.Dalam masa yang sama aku masih lagi dibawah production sebagai technician bermakna aku lakukan 2 tugas.Sebelah pagi aku berada di R&D manakala sebelah petang aku akan ke production tapi jika diproduction tiada kerja aku akan kembali semula ke R&D.Aku sebenarnya sudah hilang minat untuk bekerja dibawah production kerana tidak banyak yang dapat aku pelajari disana.

Akhirnya setelah beberapa drawing berjaya aku siapkan maka aku terus diserap kedalam R&D dept. sebagai Draftman.Kami bertiga ditugaskan membuat prototype product baru bagi menggantikan produk versi lama bermakna kami bertiga jugalah sebagai perintis produk tersebut. Aku ditugaskan untuk membuat lukisan mould atau acuan bagi menghasilkan produk.Setelah lukisan tersebut disahkan maka terhasillah prototype yang menanti masa untuk dipasang…Kini tugas aku adalah memasang protoype tersebut dan digantung di production untuk dipamerkan.Aku hanya lakukan segalanya seorang diri ketika memasangnya sambil sesekali dibantu oleh engineer iaitu temanku tadi.

Sementara itu hubungan antara kami bertiga juga baik dan agak rapat.Ini menimbulkan rasa iri hati pada orang lain lantas mereka membuat berbagai cerita memburukkan aku.Meskipun tidak diberitahu tapi aku boleh menduga siapa orangnya siapa lagi kalau bukan mereka yang ketawakan aku dulu.Suatu hari manager bertanya pada aku kenapa mereka tu suka burukkan aku dengan bercerita padanya.Katanya selama ini dia tiada masalah pun dengan aku.Aku jelaskan padanya begitulah sikap orang melayu (tapi bukan semuanya) tidak mahu berusaha tapi bersikap dengki dan iri hati dan aku katakan juga mereka lagi sakit hati kerana aku tidak pernah dimarahi oleh ketua aku didepan mereka.Setelah diterangkan ketua aku yang berbangsa cina itu hanya mengangguk lantas aku katakan jika tak percaya mari aku tunjukkan bukti.Aku meminta boss aku berpura-pura memarahi aku didepan mereka dan lihat apa yang berlaku selepas itu.

Boss aku setuju dan pada hari tersebut bila melihat semua ada diproduction aku segera memberi isyarat agar boss aku datang dan berlakon seperti yang kami rancang.Boss aku segera datang dan kami mula berlakon tanpa skrip.Mula-mula dia memarahi aku dengan perlahan lama kelamaan suaranya semakin meninggi seakan bertempik ..' wah ..boleh tahan org tua ni berlakon bisikku dalam hati..hehe' aku juga berlakon dengan membuat muka toya macam budak bodoh.Seperti dijangka aku melihat mereka yang diproduction tadi mula rapat untuk mendengar aku kena marah..diwajah mereka terpancar rasa gembira.Tapi mereka tak tahu aku dan boss aku balik ke office sambil ketawa.
Setelah itu mereka datang pada aku dan berpura menunjukkan simpati dan dalam masa yang sama mereka burukkan boss aku pula.Aku bertanya pada boss aku apa pula yang mereka cakap dengan dia.Seperti diduga dengan boss aku mereka terus tambahkan lagi keburukan aku dan memuji tindakannya itu pada aku.Setelah itu barulah boss aku faham keadaan sebenarnya.Cuma dia bertanya apa tujuan mereka sebenarnya?? biarlah aku serahkan pada rakan-rakanku atau sesiapa saja yang membaca kisahku ini yang menjawabnya.

GEMBIRA HANYA SEKETIKA

Setahun berlalu kini masuk tahun kedua aku disini.Syarikat juga semakin maju dan sibuk dengan penambahan order dari pelanggan.Ini bermakna semua staff kini sibuk dengan tugas masing-masing.
Jumlah pekerja turut bertambah dengan pengambilan pekerja baru.Aku pula semakin sibuk dengan tugas yang semakin bertambah..disamping menyiapkan tugas di R&D aku turut terlibat melakukan kerja2 yang melibatkan lukisan projek.Pertama kali melihat "building plan layout" berpinar juga mataku melihat garisan2 yang berselirat.

Dari plan tersebut aku perlu mencari lokasi dimana produk kami akan dipasang bersama ukuran dan jarak dari dinding dan proses ini dipanggil "proposal drawing" setelah itu ia akan diserahkan kepada client untuk disahkan.Ia kemudiannya disusuli pula dengan drawing yang dipanggil "shop drawing" iaitu lukisan yang menunjukkan services yang akan dipasang pada peralatan kami nanti berpandukan pada permintaan dari pelanggan.Setelah disahkan oleh pelanggan aku perlu segera siapkan drawing yang dipanggil "assembly drawing" untuk diserahkan pula pada production line.Melalui assembly drawing yang aku hasilkan segala komponen akan diorder berdasarkan drawing tersebut.

Sememangnya ketika itu langsung tiada ruang untukku berehat tapi aku gembira dengan tugas2 tersebut.Segalanya menuntut penelitian yang rapi dan aku perlu fokus terutama sekali ketika proses menghasilkan "assembly drawing" kerana jika tersilap maka barang yang mereka order tidak dapat digunakan dan aku perlu bertanggung jawab.Aku gembira kerana setiap proses tersebut membuatkan otak aku ligat berputar.Proses pertama perlukan penelitian proses kedua perlukan kefahaman dan proses ke 3 menuntut kreativiti dan imaginasi kerana aku perlu 'design' beberapa peralatan tambahan untuk mencantumkan kesemua komponen menjadi satu produk yang lengkap.

Setelah produk siap dipasang aku tersenyum puas melihat segalanya berfungsi dan yang paling membuatkan aku puas jika anda masih ingat sebelum ini aku ditertawakan hari ini aku berdiri bersama mereka yang ketawakan aku dulu bersama beberapa design yang dihasilkan dari cetusan ideaku..kesimpulannya inilah yang dikatakan KEPUASAN BEKERJA iaitu kita melakukan kerja berdasarkan minat dan kesungguhan maka apabila melihat hasilnya kepuasan itu tidak dapat digambarkan.

Sedang aku enjoy dan gembira dengan tugasku tiba-tiba kami dikejutkan dengan tindakan pihak syarikat untuk mengecilkan operasi.Pada awalnya aku tidak percaya kerana waktu itu nama syarikat semakin terkenal dan order turut bertambah..apa alasan mereka nak kecilkan operasi?..Staff pertama sekali yang kena terminate adalah sales manager di ikuti dengan QC manager kemudiannya Account manager serta beberapa staff2 lain.Aku mula resah melihat keadaan sebegitu dan tumpuan aku mula terjejas..keresahan aku disedari oleh manager aku dan dia mengatakan jangan bimbang dept. kita tidak akan terlibat.

Naluri dan gerak hatiku berkata segeralah cari kerja lain manakala mindaku pula berkata jangan risaulah lantas keduanya sering bertembung membuatkan aku semakin keliru dan untuk mententeramkan semula keadaan aku perlu berlaku adil pada keduanya agar kembali bersatu.aku segera memohon kerja dari tempat lain bagi memujuk naluri dan kembali tumpukan pada kerja untuk memujuk mindaku.Setelah itu barulah aku terasa tenang dan kembali seperti biasa.Mungkin naluri aku betul kerana selepas itu aku dipanggil untuk ditemuduga dan sebulan selepas itu aku menerima surat tawaran.

Sekali lagi naluri dan mindaku bertembung namun atas desakan naluriku yang kuat apatah lagi melihat keadaan syarikat yang semakin kelam kabut pagi esoknya aku datang bekerja bersama surat perletakan jawatan yang aku letakkan diatas meja boss aku..kemudian aku keluar melepak dikedai mamak kerana aku belum ada mood untuk memulakan tugas.Belum setengah cawan aku minum boss aku datang mencari aku dan bertanyakan tentang surat tersebut.Dia meminta agar aku tidak hebahkan pada sesiapa berkenaan surat tersebut  kerana dia akan membawanya untuk berbincang dengan general manager yang ketika itu berada di sweden.

Beberapa hari selepas itu keadaan menjadi kecoh apabila masing2 bertanya seorang yang digelar "key person" akan meletakkan jawatan.Ketika bersama-sama dengan mereka aku hanya mendengar dan berpura-pura seperti tidak tahu kerana aku ingin mendengar lagi apa yang mereka ingin perkatakan tentang "key person" tersebut.Mereka tidak sedar "key person" yang mereka anggap penting itu duduk disebelah mereka dan orangnya adalah aku yang pernah mereka ketawakan dulu dan aku yang pernah mereka perlekehkan suatu ketika dulu.

Hari untuk memulakan tugas ditempat baru kini semakin hampir tetapi suratku masih dipegang oleh boss. Masa hanya tinggal seminggu saja lagi dan tiba-tiba hari ini boss aku datang sambil berkata aku boleh letakkan jawatan tapi kenapa??..rupa-rupanya boss aku turut kena terminate dan dept. kami bakal ditutup.
Sebelum meninggalkan syarikat kami bertiga duduk semeja dan ketika itulah boss aku mengatakan yang dia akan membuka syarikatnya sendiri dan mengajak aku dan engineer aku turut serta bersamanya.Kami semua setuju dan sementara menantikan proses syarikatnya siap aku perlu bekerja dahulu disyarikat baru.Aku memberinya masa 3 bulan iaitu sebelum aku disahkan jawatan kerana mudah untuk aku memberi notis 24jam.
Apakah yang terjadi seterusnya..apakah kami akan bersatu semula?? dan apa pula pengalamanku ditempat kerja baru nanti?? nantikan episod seterusnya..

SELAMAT TINGGAL SEMUA

Memasuki tahun ke 5 aku bekerja disini pihak syarikat mula mengecilkan operasi akibat kegawatan ekonomi ketika itu.Syarikat mula mengalihkan operasi sedikit demi sedikit dengan berpindah ke Sarawak.Beberapa rakanku turut berpindah kesana dan ramai juga yang memohon kerja lain.
Lupa aku nyatakan yang aku sering mengikut gerak hati yang merupakan pancaindera kita yang ke 6.Di saat ini gerak hatiku cukup kuat mendesak agar aku segera mencari kerja lain.

Sejak itu bukan hanya aku malah rakan-rakanku turut cuba memohon kerja ditempat lain.Pertama kali aku dipanggil temuduga adalah disebuah kilang di Perak.Bersama 3 rakanku yang turut sama dipanggil kami berangkat menuju kesana dan sekali lagi gerak hatiku berkata ini bukan pilihan yang tepat maka aku hanya pergi tanpa diiringi dengan harapan sekadar ingin menambahkan pengalaman.

Seperti diduga seisi temuduga juga berjalan dengan tawar bersama 2 pegawai dari Jepun dan aku gagal hanya seorang rakanku saja yang berjaya.Selepas itu aku terus memohon dengan beberapa syarikat lain dan dalam masa yang sama keadaan syarikat semakin goyah..overtime dikawal serta tiada pengambilan staff baru jika adapun operator yang dibawa dari Sarawak.  

Satu hari aku terima surat temuduga dari sebuah syarikat.Aku segera hadir pada hari yang dijanjikan.Setelah diajukan dengan beberapa soalan aku diminta melukis di white board mengikut arahan yang diberikan.Agak pelik kerana dia minta aku lukis gambar rumah , pagar , jalan , pokok , ular , awan , matahari dan perigi.Untuk gambarajah lain tiada masalah tapi aku mengambil sedikit masa untuk berfikir dimana aku nak letakkan kedudukan ular tersebut..akhirnya aku memilih untuk letakkan dibawah pokok.Setelah itu aku pulang dengan membawa persoalan apa relevannya lukisan itu dengan kerja yang aku mohon?.

Persoalan aku terjawab bila satu hari sewaktu aku dan rakan melayari internet ditempat kerja, kami terpandang satu software yang bertajuk         "who am i".Software tersebut mengarahkan kita menyusun kesemua gambarajah sama seperti ketika aku ditemuduga tempoh hari dan perlu disusun mengikut fikiran kita.Setelah lengkap semuanya maka satu keputusan akan diprint keluar iaitu analisis keperibadian diri kita.Aku cuba alihkan kedudukan gambarajah mengikut susunan yang berbeza dan result paling teruk adalah jika ular diletak ditepi pagar rumah serta matahari berada betul2 diatas rumah...nasib baik aku letak ular bawah pokok hehe..

Sebulan selepas itu aku dipanggil untuk datang mengambil surat tawaran dari syarikat tersebut.Sekali lagi aku terkejut bukan hanya aku diterima bekerja malah gaji yang ditawarkan lebih dari yang aku mohon syukur.. shukran..Alhamdulillah..Allah memang sayangkan aku..

Hari ini adalah hari terakhir aku bersama operator aku.Suasana sedih dan suram menyelubungi kami hari ini.Ketika berkumpul untuk memberi ucapan taklimat dan ucapan terakhir masing2 aku lihat mula mengeluarkan tisu dan sapu tangan.Aku memohon maaf pada mereka sekiranya selama bersama mereka aku ada menyakiti atau mengguris perasaan mereka.Aku tidak mengambil masa yang lama untuk memberi ucapan kerana suasana telah bertukar menjadi sedu sedan serta esak tangis dan aku juga perlu segera hentikan sebelum air mata aku turut gugur.Selepas itu mereka kembali bekerja seperti biasa dan hari ini tiada seorang pun yang panggil aku untuk membaiki mesin mereka.Waktu kerjaku telah tamat..disaat aku berdiri dipintu untuk keluar dan punch card buat kali terakhir disitu juga aku berdiri untuk membuat lambaian terakhir buat semua operator aku..selamat tinggal semua moga bersua lagi dilain masa..

Tapi bagaimana pula dengan kerja baru ku ini??..Apakah aku seronok??..Apa pula cabarannya??.Adakah gerak hatiku betul??..Adakah 'ong' aku disana nanti??...nantikan episod seterusnya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...